Misi jayakan agenda

KUCHING: Amanah yang diberikan untuk menjadi menteri dalam kabinet akan digalas sebaik-baiknya dengan penuh tanggungjawab, kata Adun Asajaya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, beliau akan berusaha untuk memastikan negeri Sarawak sentiasa menuju ke arah yang lebih baik dan tidak akan mempersia-siakan kepercayaan yang telah diberikan.

“Saya berikrar untuk memikul tanggungjawab yang telah diberikan dengan penuh amanah demi menjayakan agenda pembangunan Kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

“Fokus pembangunan akan diberikan keutamaan dalam sektor pelancongan, industri kreatif, persembahan seni, belia, sukan dan keusahawanan,” katanya apabila dihubungi semalam.

Beliau juga sempat menzahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang dan kepercayaan untuk memegang portfolio yang telah diamanahkan dalam Kabinet Sarawak kali ini.

Jelasnya, bagi memastikan impian kerajaan untuk menjadikan negeri ini pesat, berdaya saing dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030, orang ramai perlu sentiasa memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Abang Jo mempunyai tekad untuk memacu Sarawak sebagai negeri yang pesat membangun menjelang tahun 2030, justeru sokongan perlu diberikan demi menggapai segala cita-cita yang diimpikan oleh semua,” katanya.

Semalam, Abang Jo telah mengumumkan barisan Kabinet Sarawak untuk penggal seterusnya di Bangunan Wisma Bapa, jam 3 petang.

Dalam pada itu, Karim yang memegang portfolio sebagai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni serta Menteri Belia, Sukan dan Keusahawanan pada penggal sebelumnya telah diberikan kepercayaan sekali lagi untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai menteri tersebut.

Suara Sarawak