Pacu pengeluaran daging tempatan

TANJUNG MANIS: Pusaka Food Industry Sdn Bhd (PFISB) memeterai perjanjian kerjasama dengan Zebu Cattle Sdn Bhd (ZCSB) dalam usaha memacu industri ternakan di Sarawak bagi menyumbang kepada permintaan daging tempatan.

Kerjasama tersebut merupakan satu gabungan yang strategik dengan PFISB mewakili Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dalam menarik pelabur ke Tanjung Manis sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Tanjung Manis sebagai kawasan pembangunan ekonomi (T-Mega).

Menurut jurucakap Pusaka, ia juga menandakan satu lagi peristiwa penting dalam portfolio pelaburan di Tanjung Manis.

“Objektif MoU ini untuk menjalankan kajian bersama kebolehlaksanaan dalam integrasi bidang ternakan dan projek penanaman jagung di Tanjung Manis.

“Melalui usaha sama ini, ia bakal memacu industri ternakan di Malaysia khususnya di Sarawak dengan menyumbang kepada permintaan daging tempatan.

“Anggaran pelaburan bernilai RM87.5 juta dan ia berpotensi merancakkan ekonomi setempat dengan adanya lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan sebagainya,” katanya, semalam.

Majlis Menandatangani MoU ditandatangi Pengurus Besar Pusaka Datuk Hashim Bojet yang mewakili Pusaka Food Industry Sdn Bhd, manakala ZCSB diwakili Pengarah Urusannya Carlos Mundim dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sini, semalam.

Sementara ZCSB merupakan anak syarikat kepada konglomerat Kumpulan Northfield berpusat di Kuala Lumpur yang mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan serta kepakaran dalam bidang ternakan.

Dalam pada itu katanya, PFISB akan memulakan projek perintis penanaman nanas di Tanjung Manis dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia sebagai inisiatif yang boleh memangkin pembangunan industri asas tani.

“Projek penanaman nanas ini akan melibatkan kawasan seluas lebih 2,000 hektar dan akan menjadikan Sarawak sebagai pengeluar sulur dan buah nanas terbesar di Malaysia,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, 127 penduduk Kampung Tusok dan Kampung Sebayang menerima benih nanas jenis MD2 dan anah benih buluh dari Pusaka untuk mereka memulakan penglibatan dalam industri pertanian.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak menjadikan Tanjung Manis sebagai sebuah kawasan pembangunan ekonomi kerana ia mempunyai potensi yang sangat besar. Bermula sebagai kawasan pemprosesan kayu balak di awal 1990-an, ia juga berpotensi untuk menjadi kawasan industri pembinaan dan pembaikian kapal, industri berasaskan kelapa sawit, perikanan aktiviti pertanian dan penternakan ikan termasuk aktiviti pemprosesan makanan halal.

Pembangunan industri tersebut salah satu inisiatif kerajaan dalam pembangunan luar bandar untuk kepentingan rakyat tempatan kerana projek mega tersebut memberi peluang kepada penduduk setempat untuk membuka peluang perniagaan, penyertaan dalam aktiviti pertanian, penjanaan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf kualiti hidup penduduk.

Kerajaan juga membelanjakan RM3.19 billion untuk membangun infrastruktur bagi menyokong industri yang dirancangkan untuk Tanjung Manis.

Suara Sarawak