Peka, buat persediaan hadapi banjir – Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru orang ramai untuk sentiasa peka dan mematuhi amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) susulan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di negeri ini.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri hari ini, MetMalaysia mengeluarkan nasihat pada Rabu lalu mengenai kemungkinan hujan lebat berterusan di bahagian barat Sarawak pada minggu depan.

“MetMalaysia juga mendedahkan berdasarkan analisis sistem cuaca terdapat potensi hujan lebat berterusan dari 27 hingga 29 Disember berikutan luruan monsun,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari menyeru orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan yang terdedah kepada banjir bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Orang ramai perlu bersedia akan keperluan untuk berpindah seperti yang diarahkan pihak berkuasa,” jelasnya.

Terdahulu, MetMalaysia meramalkan hujan berterusan berpotensi berlaku di Sabah Timur dan Sarawak Barat susulan luruan monsun, antara Isnin hingga Rabu depan.

Suara Sarawak