Pembelian panik: Wajar atau tidak?

SABAN tahun, kita sering menonton di kaca televisyen, mendengar di radio, membaca di akhbar mahupun di laman web mengenai beberapa kawasan di negara ini pasti dilanda banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh.

Tidak lupa juga di bahagian Sarawak barat diramal akan berlaku hujan lebat berterusan minggu ini. Banjir terkini melanda negara tanpa sebarang amaran awal yang jelas.

Ada kawasan yang tidak pernah dilanda banjir langsung tidak bersedia, malah kawasan yang pernah atau sering terkena turut tersentak dalam skala yang dahsyat.

Pada masa sama, sudah menjadi lumrah kebanyakan daripada kita akan mengambil cuti panjang dan melancong bersama-sama keluarga ataupun rakan, tidak terkecuali ke kawasan berpotensi banjir.

Justeru, semua masyarakat perlu peka akan maklumat yang disampaikan oleh pihak berkuasa dan aspek pengurusan tidak boleh dipandang enteng kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.

Oleh itu, pengetahuan dan kesedaran menghadapi krisis bencana perlu ada pada semua khususnya wakil pemimpin masyarakat atau ahli jawatankuasa komuniti setempat yang bertanggungjawab ke atas institusi yang menawarkan bantuan.

Dalam menghadapi musim tengkujuh dan banjir ini, kita juga pasti dikejutkan dengan insiden pembelian panik oleh segelintir masyarakat bagi menghadapi situasi banjir.

Penulis sendiri tidak pasti asas yang menyebabkan pembelian panik ini harus dilakukan. Adakah tingkah laku ini hanyalah ikut-ikutan atau pengaruh daripada gelagat pengguna daripada negara lain? Atau ia hanyalah lahir daripada kenyataan-kenyataan sensasi oleh golongan warganet?

Pada pandangan penulis, pembelian panik bagi menghadapi kemungkinan musim banjir wajar dilakukan, namun tindakan ini perlu memikirkan nasib mereka yang tidak mempunyai kewangan yang mencukupi ataupun belum mendapat gaji pada hari berkenaan.

Sementara itu, pembelian panik juga boleh memudaratkan situasi ekonomi semasa iaitu yang pertama, pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh sebahagian besar pengguna dalam satu-satu masa akan mendedahkan kepada manipulasi pasaran.

Harga akan cenderung meningkat apabila bekalan barangan yang ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan pembelian panik. Peningkatan harga perlu dielakkan ketika rakyat sedang berdepan dengan kekangan kewangan.

Oleh itu, kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memastikan keberadaan bekalan barang kawalan serta keperluan asas adalah mencukupi, mudah diperoleh dan dijual pada harga ditetapkan kerajaan serta berpatutan.

Kedua, pembelian panik boleh menjejaskan aliran tunai isi rumah. Dalam situasi pertengahan bulan dan dalam keadaan sebahagian rakyat diberi cuti tanpa gaji, isi rumah sepatutnya bijak menguruskan perbelanjaan mereka.

Ketiga, pembelian panik ini boleh menjejaskan peluang orang lain untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga normal terutama golongan berpendapatan rendah.

Pemerhatian penulis mendapati banyak barangan keperluan telah habis di kedaikedai dan pasar raya apabila berita mendedahkan akan berlakunya banjir.   Ia juga akan berlaku peningkatan harga daripada kebiasaan.

Ini akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah. Dalam masa yang sama, tanggungjawab bagi mengatasi isu ini juga perlu dipikul oleh kerajaan bagi membantu mangsa banjir ini nanti.

Kerajaan perlu memastikan segala keperluan mangsa banjir khususnya makanan diutamakan dengan segala permasalahan diatasi segera agar tiada pembelian panik berlaku.

Ia perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas banjir agar nasib masyarakat ini terbela dan mereka tidak menanggung kelaparan.  Bagi penduduk pula, mereka tidak perlu bimbang tentang barangan keperluan kerana sudah pasti kerajaan akan menjamin ia mencukupi.

Malah, semua pasar raya besar juga diminta meningkatkan lagi keperluan barangan makanan ini untuk mengelak dakwaan berlakunya kekurangan makanan.

Oleh itu, semua masyarakat perlu peka akan info dan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorotologi Malaysia (MET Malaysia).

Baru-baru ini, MetMalaysia telah mengeluarkan satu infografik mengenai 1 RUMAH 1 Beg Kecemasan. Beg kecemasan ini perlu diletakkan di bahagian yang mudah dicapai apabila berlakunya segala jenis kecemasan yang tidak dijangka.

Kalau datangnya apa-apa bencana boleh terus bawa satu beg ini sahaja dan selamatkan diri serta ahli keluarga. Antara barang yang perlu ada dalam beg ini adalah lampu suluh, tempat simpanan dokumen (simpan semua dokumen asas yang penting, kit keselamatan, wisel, makanan tahan lama, air mineral, bank kuasa dan telefon, kit kebersihan, radio mini, sedikit wang saku dan satu set pakaian.

Bagi yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan atau membeli bot bagi memastikan segala urusan menyelamat ahli keluarga atau menyalurkan bekalan dapat dilakukan dengan baik. Boleh beli awal sebab bencana ini datang di luar jangkaan kita.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak