Penduduk Kampung Benat Hulu dapat bekalan air bersih

SIMUNJAN: Seramai 157 penduduk dari dua buah rumah panjang di Kampung Benat Hulu kini menarik nafas lega kerana dapat menikmati bekalan air bersih setelah lebih 30 tahun bergantung kepada air hujan tanpa sistem takungan sempurna.

Ia diperoleh menerusi Projek Bekalan Air Bersih Etiqa hasil biayaan sepenuhnya Etiqa Family Takaful Berhad dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Islamic Aid Malaysia.

Ketua Kaumnya Gubil Padat, 62, berkata, kemudahan tersebut sekali gus meringankan beban mereka yang rata-ratanya merupakan petani dan bekerja sendiri.

Dengan adanya kemudahan penapis air membran berskala tinggi yang disediakan, katanya masalah musim kemarau serta pencemaran air takungan kerana tidak dirawat terlebih dahulu tidak lagi perlu dikhuatiri.

“Kaedah ini akan memastikan penduduk di kedua-dua rumah panjang menerima bekalan air bersih terawat secara berterusan,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Projek Bekalan Air Bersih Etiqa di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Etiqa Wilayah Bahagian Sarawak Wong Chee Tung berharap kemudahan itu dapat mengurangkan risiko pengguna terdedah kepada pencemaran air.

“Mudah-mudahan penduduk kampung dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dengan baik dan terpelihara,” ujarnya.

Turut hadir Presiden Islamic Aid Malaysia Zawahir Abdullah.

Suara Sarawak