Penerima vaksin Sinovac mesti ambil dos penggalak sebelum Februari ini

KUCHING: Semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun ke atas digesa mengambil dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari depan bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, status vaksinasi akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya masih belum berbuat demikian selepas selepas tempoh tersebut.

“Individu terbabit juga tidak akan layak untuk menerima kemudahan-kemudahan seperti yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut JPBN, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Booster (CITF-B) Kebangsaan pada 8 Disember lalu yang mengesahkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu menerusi Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE).

JPBN turut memberitahu aktiviti pemberian dos penggalak ini dilaksanakan di klinik swasta, hospital swasta, klinik kesihatan, PPV Awam, PPV Integrasi dan secara bergerak serta diberikan percuma.

“Mereka yang layak juga akan mendapat tarikh janji temu melalui MySejahtera untuk hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang telah ditetapkan.

“Bagi yang layak tetapi masih belum menerima tarikh janji temu, mereka boleh menghubungi PPV Awam, klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta untuk mendapatkan tarikh janji temu atau terus mana-mana PPV Integrasi,” tambahnya.

Suara Sarawak