Penganggur didenda, ugut ibu dan adik kandung

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menggeluarkan kata-kata ugutan terhadap ibu dan adik kandungnya.

Awang Ibnu Syinar, 31, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana melakukan ugutan jenayah yang boleh menyebabkan kecederaan terhadap ibunya apabila mengacukan sebatang kayu besbol.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana melakukan jenayah ugut bunuh terhadap adik kandungnya berusia 25 tahun menggunakan kayu yang sama.

Tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan melakukan perbuatan terbabit di kediaman mereka di Bandar Baru Samariang, sekitar jam 1.30 petang, 22 Oktober lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dituduh pada 27 Oktober lepas.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak