Perdana Menteri komited teruskan Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

SERIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen untuk meneruskan Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, yang telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, beliau berkata akan meneruskan perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof bagi pelaksanaan Fasa 2 itu.

Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak adalah melibatkan pembinaan laluan dari Limbang ke Lawas, ‘missing link’ dari Kuala Baram ke Sungai Tujoh CIQ dan jalan sedia ada yang perlu dinaik taraf (red line).

“Kita tidak akan terhenti di sini, kita akan teruskan sehingga segala projek ini tercapai,” katanya berucap pada Majlis Pembukaan Jalan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Jajaran Serian, di sini hari ini.

Menurut Ismail, bajet bagi pelaksanaan Fasa 2 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telahpun diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tetapi apabila bertukar kerajaan kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, bajet itu dibatalkan.

“Sebab itu tidak dapat diteruskan projek-projek Lebuhraya Pan Borneo, ‘missing link’, ‘red line’ dan sebagainya.

“Kalau tidak berlaku pertukaran pasti akan diteruskan, kerajaan pusat melihat perkata ini penting untuk rakyat Sarawak bagi memudahkan perjalanan dan meningkatkan ekonomi,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan pusat juga komited untuk membangunkan infrastruktur digital di Sarawak.

Oleh itu, katanya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar bagi projek JENDELA iaitu lebih RM4 bilion untuk capaian internet lebih baik di Sarawak.

“Pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif terhadap pelbagai aspek kehidupan, namun dari segi positifnya saya melihat ekonomi digital semakin berkembang.

“Maka tumpuan kerajaan kini ke arah ekonomi digital kerana dunia sudah berubah, semuanya di hujung jari,” katanya.

Suara Sarawak