Philip rayu isu kewarganegaraan orang asal diambil serius

MIRI: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN N.77 Telang Usan, Philip Jau Ding merayu kerajaan mengambil serius masalah dokumen pengenalan diri orang asal di Baram dan menyelesaikannya dengan segera.

Hal ini kerana ujarnya, masalah dokumen pengenalan diri atau kewarganegaraan ini telah menyebabkan penduduk di sini berdepan beberapa masalah dalam berurusan.

“Saya melihat masih ramai orang asal di sini yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika mengadakan lawatan ke kampung-kampung.”

“Hal ini justeru akan menyukarkan anak-anak untuk bersekolah, mereka yang sudah dewasa juga agak sukar untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Keadilan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-12 di Bilik Gerakan Utama PKR Miri, hari ini.

Jelasnya, kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen yang sah, berstatus bukan warganegara tidak dibenarkan bersekolah akan menjejaskan masa depan mereka.

“Oleh itu, saya merayu kepada kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri supaya melihat perkara ini dengan serius, apakah orang asal ini, kanak-kanak termasuk orang dewasa dinafikan haknya sebagai warganegara Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu Philip menambah, sedang mengumpulkan nama-nama mereka yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri ini.

Katanya, antara dokumen ini adalah kad pengenalan berwarna hijau atau Orang Baru Tiba (OBT) dan kad merah yang bermaksud bermastautin tetap.

Suara Sarawak