Phillip Jabu sedia galas cabaran

KUCHING: Phillip Jabu yang satu-satunya muka lama masih kekal sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sedia menggalas tugas yang diamanahkan sekiranya diberi mandat memegang sebarang portfolio dalam badan induk berkenaan.

Ia sekaligus cuba meneruskan agenda utama FAS terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wakil ahli gabungan yang telah memilih saya pada Mesyuarat Agung Tritahunan FAS 2021/2024 beberapa hari lepas.

“Bagi saya tiada masalah untuk memikul tanggungjawab serta melaksana tugas sekiranya diberi diberi portfolio selepas ini,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Phillip, berbekal pengalaman yang ada dilihat sebagai kredit berganda untuk dirinya membantu badan induk (FAS) meneruskan agenda memperkasa program pembangunan bola sepak sama ada yang telah mahupun bakal dirancang.

Pada mesyuarat yang berlangsung di Mukah tempoh hari, Phillip Jabu berjaya memperolehi 20 undi.

Kepimpinan serta pengalaman Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) itu begitu terserlah apabila pernah membawa Serian FA muncul naib juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2016/2017.

Selain itu, beliau merupakan Penolong Pengurus Pasukan Pasukan Piala Belia (2019) Penolong Pengurus Pasukan Piala Presiden/Sukma ( 2020) dan Pengurus Pasukan Piala Presiden Sarawak United FC II (SU FC II) pada tahun 2021.

Suara Sarawak