PRN Sarawak: Calon baharu, pelapis untuk masa depan

KUCHING: Gabungan antara calon berpengalaman dan calon baharu untuk mewakili rakyat pada pilihan raya kali ini merupakan keputusan yang bijak oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perancangan untuk membangunkan Sarawak dan kepimpinannya memerlukan kesinambungan, justeru orang muda perlu diberi peluang untuk menimba pengalaman tersebut.

“Diharap barisan calon yang telah diumum untuk bertanding di kerusi masing-masing akan dapat meneruskan khidmat terbaik untuk negeri ini bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

“Justeru, orang muda perlu diberikan peluang untuk menimba pengalaman melalui bimbingan dan didikan yang baik kerana mereka akan menjadi pelapis pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Program Berkhatan di Surau Baitul Makmur, di sini, hari ini.

Tambahnya, calon yang telah diamanahkan itu juga diharapkan dapat memberikan idea baharu yang bernas untuk membawa perubahan yang lebih baik dan relevan kepada generasi kelak.

Suara Sarawak