PRN Sarawak: GPS tampil 24 muka baharu

KUCHING: Sebanyak 24 muka baharu ditampilkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak.

Ia termasuk kerusi Dun Lingga dan Tanjung Datu yang mempertaruhkan calon muda iaitu Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga) berusia 33 tahun dan Azizul Annuar Adenan (Tanjung Datu) berumur 30 tahun.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerusi lain yang turut menampilkan calon baharu adalah Satok, Opar, Padungan, Batu Lintang, Baleh, Telian, Krian, Kalaka, Stakan, Tebedu, Ngemah, Katibas dan Ba’ Kelalan, Pujut dan Tanjung Batu.

“Pada pilihan raya kali ini, GPS memperkenalkan golongan muda berusia antara 30 hingga 40 tahun kerana kita percaya bahawa mereka akan dilatih dan didedahkan dengan politik di Sarawak.

“Politik di sini memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan dan keduanya, yang hanya rakyat Sarawak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini, hari ini.

Terdahulu Abang Johari mengesahkan GPS bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN-12.

Suara Sarawak