PRN Sarawak: Pengundi diingatkan patuh SOP semasa proses pengundian

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para pengundi untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa proses pengundian Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak, esok.

Menurutnya Setiausahanya Datuk Indera Ikmalrudin Ishak, ia termasuk memakai pelitup separuh muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dengan pengundi perlu menggunakannya di empat stesen iaitu di pintu masuk, pintu masuk saluran, dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Manakala individu yang diletak di bawah perintah pengawasan (PUS) dan individu yang disyaki (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah,” jelasnya.

Suara Sarawak