Pusat Penjaja Haji Baki mula beroperasi Januari depan

KUCHING: Pusat Penjaja baharu Haji Baki yang akan menempatkan 18 penjaja kecil pada peringkat awal dijangka akan memulakan operasinya pada awal Januari depan.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, bangunan dibina atas peruntukan Kerajaan Sarawak sebanyak RM390,000.

“Diharap penubuhan pusat baharu perniagaan ini merancakkan lagi ekonomi di sini, dalam masa yang sama membuka peluang penduduk menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Pusat Penjaja Baharu Haji Baki, di sini, hari ini.

Menurutnya, pusat itu akan menempatkan lapan gerai untuk menjual bahan basah dan 10 kedai menjual makanan serta minuman.

“Dengan lokasi pusat ini yang terletak tidak jauh dari laluan utama penduduk serantau Kuching, ia bakal menjadi tempat persinggahan utama orang ramai,” ujarnya.

Suara Sarawak