Razi: Pelantikan hadiah istimewa untuk warga Saribas

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohd Razi Sitam menyifatkan pelantikannya sebagai tanggungjawab besar.

Menurut Adun Saribas itu, beliau berharap penglibatannya dalam kementerian tersebut akan menambah lagi pengalamannya dalam pentadbiran negeri.

“Selepas menang pada PRN-12, saya akan berkhidmat untuk penggal ketiga. Walaupun ada yang menyifatkan saya masih baharu, tetapi saya bersedia untuk belajar daripada pemimpin yang lebih senior khususnya Menteri KWKPK sendiri, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

“Malah saya amat bersyukur atas kepercayaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan berikrar akan melakukan yang terbaik untuk semua,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menganggap pelantikan tersebut sebagai hadiah tahun baharu teristimewa kepada seluruh warga Dun Saribas dan Bahagian Betong.

“Sungguhpun ini yang sangat ditunggu-tunggu oleh warga Dun Saribas selepas 10 tahun menyokong penuh kepimpinan kerajaan, namun secara peribadi saya berikrar akan berkhidmat dengan sebaik mungkin untuk rakyat,” ujarnya.

Razi turut berterima kasih kepada seluruh warga Dun Saribas dan Bahagian Betong khususnya kerana telah memberi sokongan kepadanya selama ini.

Suara Sarawak