RM31.6 juta dividen diagihkan kepada peserta Felcra di Sarawak tahun ini

KOTA SAMARAHAN: Keuntungan boleh agih berjumlah RM31.6 juta telah diagihkan kepada 7,477 peserta Felcra Berhad di Sarawak bagi interim satu dan dua tahun 2021.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pengagihan dividen untuk tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya kerana harga kelapa sawit meningkat.

“Setiap tahun akan ada tiga interim diberikan kepada peserta Felcra dalam bentuk dividen dan dua daripadanya sudah diberikan tahun ini.

“Manakala, interim ketiga yang berjumlah RM15 juta belum dapat diagihkan tetapi akan diselesaikan pada awal tahun 2022,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Peserta Felcra Berhad Wilayah Sarawak, di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), hari ini.

Tambahnya, Sarawak mempunyai 18 buah kawasan Felcra dengan bilangan peserta seramai 9,600 orang terdiri daripada ketua keluarga dan diberikan interim setiap tahun.

Pengagihan di Sarawak telah dibuat pada Ogos dan November lalu, yang memberikan manfaat kepada seluruh peserta Felcra di Sarawak.

Suara Sarawak