RM48 juta untuk Pulau Bruit

DARO: Pulau Bruit menerima buah tangan berjumlah RM48 juta daripada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk menaik taraf serta membangunkan kawasan yang terpisah dengan tanah besar itu.

Ia apabila Ketua Menteri itu meluluskan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf empat jambatan sedia ada yang dalam keadaan teruk, bagi menghubungkan jalan-jalan raya di seluruh kawasan berkenaan termasuk projek menaik taraf jalan ladang.

Pada masa sama, beliau juga meluluskan sebanyak RM22 juta untuk membaiki benteng bagi kawasan pertanian serta RM6 juta lagi untuk pembinaan masjid.

“Saya bukan datang dan meluluskan projek-projek ini kerana hendak pilihan raya tetapi ia memang sudah dalam perancangan.

“Ini dapat dilihat menerusi pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa yang sedang dilaksanakan bagi menghubungkan Pulau Bruit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Pulau Bruit, di sini hari ini.

Sementara, Abang Johari berkata Pulau Bruit bakal menikmati bekalan air terawat sebaik sahaja Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Lassa yang dibina dengan kos kira-kira RM1 bilion itu siap dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

“Apabila jambatan-jambatan ini siap, ia akan dapat memuatkan batang paip untuk mengalirkan air paip dari Tanjung Manis terus ke Pulau Bruit dan kita akan bina grid paip untuk seluruh kampung yang ada di Pulau Bruit.

“Ini akan dilaksanakan apabila siapnya jambatan-jambatan berkenaan dalam masa empat atau lima tahun, dan semua masalah air di Pulau Bruit akan selesai,” katanya.

Suara Sarawak