Saiful siap sedia bantu KC FC

KUCHING: Penjaga gol berpengalaman Saiful Wazizi Mohamad, 23 sedia memperaga aksi terbaik sepanjang mengharungi kempen Liga Premier 2022 bersama pasukan baharunya iaitu Kuching City FC (KC FC).

Ia sebagai langkah merealisasi misi awal The City Boys untuk menempatkan diri dalam kelompok dua terbaik sekali gus dapat bersaing di pentas Liga Super 2023.

“Seperti yang diketahui, misi awal diinginkan oleh pihak pengurusan adalah mencuba untuk berada dalam kelompok dua teratas musim depan.

“Semestinya saya akan berusaha memberikan yang terbaik sepanjang saingan nanti,” ujar Saiful ketika ditemui semasa latihan di Stadium Sarawak, Petra Jaya petang tadi.

Anak jati kelahiran Kampung Selang Ulu, Telaga Air itu akan cuba mengadaptasi pengalaman yang ada pada dirinya bagi memastikan keinginan pasukannya tercapai.

Menurut Saiful, tiada masalah baginya menyesuaikan diri bersama rakan-rakan ketika ini walaupun baru beberapa hari berlatih bersama.

“Apa yang penting sekarang, saya perlu sentiasa fokus ketika latihan,” tambahnya.

Saiful Wazizi antara pemain baharu yang diserap ke dalam skuad KC FC untuk menghadapi saingan Liga Premier 2022.

Kelibatnya berjaya mencuri tumpuan apabila sering diturunkan sebagai penjaga gol utama Sarawak United FC (SU FC) pada perlawanan Piala Malaysia 2021.

Mula bermain di pentas kompetitif ketika bersama pasukan Piala Belia (2016 & 2017).

Sebelum diserap ke dalam skuad senior Sarawak pada tahun 2018 sehingga 2021.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak