Sarawak memperjuangkan MA63 bukan bermakna mahu keluar Malaysia

KUCHING: Perjuangan Sarawak menuntut hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bermakna hendak keluar atau berpisah daripada Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah bagi mendapatkan kembali sepenuhnya hak Sarawak yang terhakis seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya memang menekankan Perkara 160 (2), tidak seperti ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu meminda Perlembagaan hanya berdasarkan Perkara 1(2), yang kita tidak bersetuju.

“Kita mahukan pindaan substantif, iaitu kandungan Perlembagaan yang merangkumi perkara yang telah ditandatangani dalam MA63 bersama-sama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada hari pertama beliau kembali bertugas sebagai Ketua Menteri Sarawak, di Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Berkongsi contoh perjuangan tersebut, Abang Johari berkata dalam IGC Perenggan 24 ada menyatakan bahawa Sarawak dan Sabah mesti mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Ia adalah wajib, tetapi sehingga sekarang Sabah dan Sarawak langsung tidak menganggotainya. Jika ada wakil, kita akan tahu berapa jumlah keseluruhan pendapatan negara dan dapat memohon jumlah geran yang munasabah bawah Perkara 112D.

“Ini hak kita sebagai rakan kongsi dan saya akan melihat perkara ini dengan lebih mendalam untuk kita mengambil langkah seterusnya,” jelasnya.

Suara Sarawak