Sarawak Mengundi: 7,434 pegawai dan anggota sedia bertugas esok

KUCHING: Seramai 7,434 pegawai dan anggota bersedia bertugas untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 esok.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, polis menyediakan sumber manusia yang mencukupi untuk memastikan proses membuang undi esok berjalan dengan lancar dan selamat.

Katanya, ia membabitkan penugasan kawalan keselamatan di 1,886 pusat mengundi dan 3,555 saluran mengundi.

“Polis turut menerima bantuan sebanyak 3,152 orang dari Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Polis Bantuan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) serta anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya pada sidang media Op PRN-12, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Selain itu katanya, polis turut menubuhkan sebanyak 47 pasukan Op Cantas dari Jabatan Siasatan Jenayah yang ditempatkan di setiap daerah di Sarawak.

Beliau berkata, polis turut menubuhkan 107 pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) dan juga pematuhan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya di seluruh daerah di Sarawak.

Tambahnya, empat pasukan pemantau udara dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PRU) akan menggunakan helikopter dan dron untuk membuat pemantauan keselamatan dan SOP melalui udara.

“Selain itu, 47 Unit Pasukan Light Strike Force (LSF) dan empat pasukan Public Order And Riot Unit (PORU).

“Pasukan-pasukan polis lain seperti pasukan pencegahan jenayah daerah turut bersiap sedia untuk PRN-12 esok,” katanya.

Dalam pada itu, Aidi turut menyeru orang ramai untuk keluar menunaikan tanggungjawab esok sebagai pengundi.

“Dengan segala persiapan yang telah dibuat dari semua sudut, Polis Kontinjen Sarawak yakin dan memberi jaminan bahawa proses PRN-12 esok berjalan dengan lancar dan selamat dan terkawal,” katanya.

Suara Sarawak