Saya tetap akan turun mengundi

LIMBANG: Seorang warga emas yang mempunyai masalah untuk berjalan akibat sakit tua tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Kota dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Judin Serudin, 82, tiba di Pusat Pembuangan Undi di Dewan Surau Kampung Limpaong, di sini menaiki kereta pada jam 9.20 pagi ditemani anaknya.

Perasaan beliau mengundi pada kali ini sangat berbeza dengan disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“Perasaan sedikit berbeza namun teruja kerana sebelum ini SOP tidak seketat pada kali ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, dia tidak pernah terlepas peluang untuk memberi undi kerana baginya setiap undi penting untuk menentukan masa depan negara.

“Saya sudah lebih 10 kali mengundi dalam pilihan raya sama ada Dun ataupun Parlimen.

“Selagi saya masih hidup, saya tetap akan terus turun mengundi,” katanya.

Difahamkan Judin tidak kuat untuk memegang alatan menulis.

Suara Sarawak