Semangat juang beri khidmat kepada rakyat

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu menang di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada 18 Disember ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata itu akan dapat dicapai jika ahli GPS turun dengan satu semangat pertahankan dan membangunkan Sarawak.

“Rakyat Sarawak lebih penting dan kita berjuang atas landasan memberi khidmat kepada rakyat atas nama GPS,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.

Justeru, katanya jentera GPS kini perlu mula bergerak bagi memastikan kemenangan di setiap kawasan. “Sudah tentu kita mempunyai jentera yang telah bersedia lebih awal, jadi kita gerakkanlah jentera yang telah ditubuhkan beberapa bulan yang lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Barisan Nasional (BN) kerana tidak menempatkan calon pada pilihan raya nanti.

“Mereka tidak mahu kacau kerana tahu politik Sarawak berbeza dengan Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata masa depan Sarawak adalah terjamin dan cerah di bawah pentadbiran GPS yang stabil.

Katanya Kerajaan GPS telah merangka dasar yang jelas sehingga 2030, dengan menekankan dasar ekonomi dan sosial yang akan mensejahterakan rakyat dan negeri.

Hadir sama ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden  Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum.

Suara Sarawak