Seruan Kepada Semua Pengundi di Sarawak

Rakyat Sarawak yang dikasihi,

Salam Sarawakku Sayang,

Sarawak akan membuat keputusan, saya menyeru kepada anda semua agar membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri, untuk keluarga anda, untuk komuniti anda dan untuk Sarawak yang disayangi.

Saya memberi jaminan, dengan mandat penuh rakyat Sarawak kepada GPS, kami akan meneruskan usaha untuk memastikan keselamatan awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi untuk Sarawak, pada masa sekarang dan masa depan.

Kami, pasukan GPS akan meneruskan agenda pembangunan sosio-ekonomi bagi mewujudkan sumber kekayaan baru, menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk belia dan generasi akan datang.

Kami akan memastikan kemakmuran Sarawak yang berterusan supaya rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang terancang, holistik dan inklusif.

Kami, pasukan GPS akan sentiasa berusaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Malaysia.

Ini terbukti dengan lulusnya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 (Selasa).

Kami akan memelihara perpaduan dan keharmonian yang sangat kita hargai di Sarawak di mana masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama dapat hidup bersama dengan aman dan bekerja untuk generasi akan datang.

Janganlah kita menggadaikan masa depan kita. Kita harus mengambil iktibar dari kegagalan Kerajaan PH yang hanya mampu bertahan 22 bulan kerana lemah dan tidak stabil.

Masa depan kita bergantung kepada kerajaan yang kuat, stabil dan komited untuk mempertahankan hak-hak rakyat dan kepentingan Sarawak.

GPS yang berpengalaman, cekap, disegani, berintegriti tinggi dan mempunyai rekod prestasi cemerlang akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

Janganlah membuat kesilapan, kita mesti terus memperjuangkan perpaduan, keharmonian, autonomi dan kemakmuran Sarawak.

Kami, pasukan GPS komited untuk meneruskan perjuangan dan usaha demi kecemerlangan Sarawak. Berilah peluang kepada GPS untuk terus berjuang demi kecemerlangan Sarawak untuk kemakmuran kita semua.

Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang stabil, makmur dan gemilang, untuk menjadikan Sarawak Maju menjelang tahun 2030.

Suara Sarawak