Sesi persekolahan ditangguh seminggu

KUCHING: Sesi Persekolahan Penggal 3 bagi tahun 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu berikutan situasi banjir di seluruh negara, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Justeru katanya, tarikh baharu bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 adalah pada 9 Januari 2022 bagi kumpulan A melibatkan sekolah-sekolah di negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Manakala sekolah kumpulan B iaitu negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan memulakan sesi persekolahan pada 10 Januari 2022,” ujarnya.

Radzi berkata, bencana banjir telah mengakibatkan banyak sekolah terjejas menyebabkan murid, ibu bapa dan guru-guru secara langsung atau tidak langsung turut terkesan.

“Malah, terdapat sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya melalui video hantaran yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Jelasnya lagi, penangguhan sesi persekolahan ini dibuat untuk memberi ruang dan masa kepada mangsa-mangsa banjir untuk menyiapkan keperluan mereka sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM akan sentiasa mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan guru,” tegas Radzi.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan Sesi Persekolahan Penggal 3 bagi tahun 2021/2022 akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi kumpulan A dan 3 Januari bagi kumpulan B.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak