Simpan 1.13 gram syabu, denda RM4,100

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM4,100 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.13 gram, Ogos lepas.

Eddy Syafiq, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 12 (13) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) Akta yang sama, kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Berdasarkan ringkasan kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah melakukan satu serbuan di sebuah rumah beralamat di Jalan Sultan Tengah RPR Bandar Samariang, kira-kira jam 12.30 petang, 11 Ogos lepas.

Semasa serbuan, tiga orang suspek telah ditahan dan hasil pemeriksaan badan terhadap seorang lelaki (tertuduh) mendapati tujuh paket kecil berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine.

Selain itu, hasil ujian saringan awal air kencing tertuduh juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak