Skim Harga Maksimum dilaksanakan menjelang Krismas

KUCHING: Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia akan dilaksanakan menjelang perayaan Krismas bermula 7 hingga 31 Disember ini di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia sebagai komitmen kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap situasi kenaikan harga barangan ketika ini.

“Pada masa ini, terdapat 12 barangan yang ditetapkan harga maksimum dan akan diteliti dari semasa ke semasa dari segi bilangan barangan yang perlu dikawal dan harga maksimum yang ditetapkan,” katanya ketika melancarkan peluasan Program Segar@Mesra di Stesen Petronas Lanang Barat, Sibu hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian.

Katanya ia seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Menjelas lanjut, Alexander berkata kerajaan semasa Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM100 juta untuk program berkenaan dilaksanakan di kesemua 222 kawasan Parlimen sehingga Mac 2022.

Suara Sarawak