Sudah tiba masa Dr Sim dilantik sebagai timbalan ketua menteri

KUCHING: Sudah tiba masa untuk Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dilantik sebagai timbalan ketua menteri, kata Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng.

Menurutnya, beliau menyokong penuh sekiranya Adun Batu Kawah itu diberikan jawatan tersebut pada perlantikan kabinet baharu kerajaan Sarawak, kelak.

“Kami menyokong penuh perkara tersebut. Malah, saya rasa sudah tiba masanya dengan SUPP telah memenangi 13 kerusi yang merupakan kedua terbesar dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), justeru Dr Sim layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai jawatan timbalan ketua menteri selepas program pengagihan bantuan makanan di Flat KMC, Jalan Padungan di sini, hari ini.

Tambahnya, Dr Sim juga telah bekerja keras dalam memberikan perkhidmatan terbaik di Batu Kawah dalam tempoh lima tahun lalu sehinggakan ia mampu membangun jauh lebih baik daripada kawasan bandar.

Beliau juga pasti dalam tempoh lima tahun akan datang seluruh kawasan tersebut akan melihat lebih banyak pembangunan di bawah Dr Sim.

Terdahulu, Wee menyampaikan bantuan makanan kepada lebih 500 keluarga yang menetap di Flat KMC dengan kerjasama Persatuan Penjaja Bahagian Kuching dan Samarahan serta tajaan 38 Food Street.

Turut hadir penasihat persatuan Datuk Sim Kiang Chiok dan pengerusi Chang Hot Chai.

Suara Sarawak