Tidak mengaku bersalah edar ganja

KUCHING: Seorang lelaki berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Tinggi di sini,
atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 498.6 gram, Julai lepas.

Tertuduh Nor Harizewan, 26, membuat pengakuan atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azhahari Kamal Ramli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyimpan bahan terlarang itu di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai pembekal barangan plastik di Jalan Canna di sini, sekitar jam 4.20 petang, 9 Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

Mahkamah memutuskan sebutan semula kes pada 5 Januari tahun depan untuk pengurusan kes.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Michelle Lim manakala tertuduh diwakili peguam Roger Chin.

Suara Sarawak