Tiga lelaki dicekup salah guna dadah di Bau

BAU: Tiga orang lelaki dicekup polis di hadapan sebuah rumah di Kampung Segong di sini hari ini disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, ketiga-tiga suspek berusia 27 dan 40 tahun ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira jam 11.20 pagi.

Katanya, ketiga-tiga suspsk yang berada di kawasan tersebut berada dalam keadaan mencurigakan.

“Kesemua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek disahkan positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut berkata, dua orang suspek dikesan mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, pemeriksaan pada tempat tersebut adalah rondaan rutin dijalankan di kawasan-kawasan kampung yang dipercayai adanya aktiviti penagihan dadah berbahaya yang harus dibenteras untuk mengelakan aktiviti ini berleluasa.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak