UPM Bintulu – Hab Penyelidikan Perhutanan Sarawak

BINTULU: Kerajaan negeri bersetuju untuk melantik Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sebagai Hab Penyelidikan Perhutanan di Sarawak dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM10.95 juta.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan kerjasama itu akan dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama bernilai RM4.15 juta, manakala fasa kedua sebanyak RM6.8 juta.

“Melalui kerjasama ini, kita akan dapat membangunkan kebolehan dan kemahiran yang mampan selain membolehkan penyelidikan berkaitan bidang pengurusan sumber hutan dilaksanakan.

“Saya akan mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengeluarkan dana sebagai geran kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan JHS akan mengeluarkan dana tersebut mengikut kemajuan penyelidikan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Pengurusan Sumber Hutan 2021 di Bintulu, hari ini.

Menurutnya, usaha tersebut bagi menampung kekurangan kapasiti penyelidikan dan tenaga manusia yang berkelayakan di Sarawak dalam menyelesaikan isu dalam pengurusan sumber hutan.

“Pembinaan kapasiti ini adalah latihan penting untuk melatih semua kakitangan, termasuk kakitangan sokongan dalam bidang perhutanan.

“Penyelidik dan saintis muda juga harus dilatih dan dilengkapi untuk melihat pendekatan penyelidikan semasa, termasuk merevolusikannya melalui kerjasama dengan institusi penyelidikan di dalam atau di luar negara,” ujarnya.

Suara Sarawak