Wan Azizah: Beri peluang kepada calon PKR Serembu

BAU: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dun Serembu Michael Saweng harus diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat agar dapat menyuarakan hak rakyat Sarawak di DUN.

Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekiranya Micheal diberikan peluang itu, beliau akan memperjuangkan hak rakyat negeri ini terutamanya berkaitan tanah hak adat bumiputera.

“Beri peluang kepada beliau untuk membuktikan kepada anda bahawa kita dapat membentuk masa depan dan kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika menyantuni penyokong PKR di Kampung Kandis Lama, di sini, hari ini.

Justeru beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah amat penting supaya pihaknya berupaya untuk menyuarakan dan memberikan tekanan bagi mendapatkan hak rakyat Sarawak dalam DUN.

Wan Azizah tiba di ibu negeri semalam untuk memberi sokongan kepada calon-calon PKR yang bertanding pada PRN-12.

Beliau berada di Sarawak sehingga Ahad ini dan akan turut berkempen di Miri.

Suara Sarawak