Wanita maut dilanggar dari belakang

KUCHING: Seorang wanita maut setelah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta utiliti sukan (SUV) di Jalan Westwood di sini, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.20 pagi ketika mangsa, 20, sedang menunggu rakannya di sebelah motosikal yang dinaiki mereka.

“Sebuah kereta SUV yang dipandu seorang wanita, 56, telah melanggar motosikal yang ditunggang mangsa sebelum melanggar sebuah lagi kereta yang diletakkan di sebelah kanan jalan (bukan di dalam kotak parkir) yang menyebabkan mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak pada jam 11.23 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah atas kecuaian pemandu SUV terbabit dan telah ditahan untuk dirakam percakapannya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak