Warga emas bersemangat turun mengundi

SARIKEI: Suasana pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tenang walaupun hujan lebat pada awal pagi tadi.

Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sarikei, mendapati proses mengundi berjalan lancar dan teratur.

Sehingga jam 7.45 pagi, tidak berlaku kesesakan trafik di beberapa laluan ke pusat mengundi termasuk Jalan Rentap, Jalan Nyelong, Jalan Jelutong dan Jalan Repok.

Dalam pada itu, kelihatan anggota keselamatan dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tanggungjawab dengan baik selain memastikan proses mengundi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada masa yang sama keutamaan turut diberikan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi.

Sementara itu, calon GPS Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii membuang undi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar manakala, Calon GPS Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh mengundi di Kampung Rajang.

Pusat pengundian di kebanyakan kawasan di Sarikei dibuka pada jam 7.30 pagi.

Suara Sarawak