Warga emas dan belia teruja keluar mengundi

KUCHING: Pengundi di kawasan Dun Satok termasuk warga emas dan belia teruja keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) hari ini meskipun ia berlangsung dalam keadaan pandemik Covid-19.

Menurut Ogaiyah Sebli, 77, dia gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab mengundi dan berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan di pusat tersebut.

“Mudah-mudahan panjang umur, insya-Allah lima tahun akan datang dan ada peluang kita keluar lagi mengundi.

“Justeru, apa yang saya harapkan adalah semoga negeri kita ini terus aman, bahagia dan sentosa,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas selesai mengundi, hari ini.

Bagi Muhammad Aiman Ashraff Bolkiah, 22, pula keterujaan ketika kali pertama mengundi tidak dapat dinafikan kerana sudah lama ingin merasai sendiri pengalaman tersebut.

“Saya juga berharap agar rakan-rakan sebaya dapat keluar bersama-sama mengundi hari ini dan dapat membuat pilihan yang tepat.

“Ini kerana undian kita hari ini bakal menentu masa hadapan Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak