Wee Hong Seng boleh jadi Datuk Bandar, ADUN yang baik

KUCHING: Kredibiliti dipamerkan Datuk Wee Hong Seng sebagai Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) membuktikannya mampu menggalas tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan baik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Wee yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini, dikenali sebagai Datuk Bandar yang baik serta memiliki banyak idea ke arah pembangunan bandar raya Kuching.

“Ada orang cakap Wee seorang Datuk Bandar yang hebat, jadi mengapa minta beliau jadi Datuk Bandar sahaja. Mengapa tidak beri peluang kepadanya untuk berada dalam DUN kerana semua orang Sarawak akan mendapat manfaat.

“Beliau boleh jadi ADUN, pada masa sama boleh jadi Datuk Bandar, jadi jangan terpengaruh dengan idea tidak undi Datuk Bandar kerana takut hilang Datuk Bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pelancaran projek pembangunan semula kolam renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan semalam.

Wee akan menentang pengerusi DAP Chong Chieng Jen, Pengarah Pilihan Raya Parti Bumi Kenyalang (PBK) Raymond Thong dan Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo di DUN Padungan.

Suara Sarawak