Yuki kembali ke pangkuan KC FC

KUCHING: Bekas tonggak utama Kelantan United FC, Yuki Tanigawa antara import baharu yang akan memperkuatkan jentera pasukan Kuching City FC (KC FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.

Ketua Jurulatih KC FC Irfan Bakti Abu Salim memberitahu, pemain dari negara matahari terbit itu akan melapor diri bersama pasukannya pada awal bulan Januari depan.

“Yuki Tanigawa yang juga bekas tonggak utama Kelantan United FC musim 2021 antara tiga import baharu diketengahkan The City Boys untuk mengharungi kempen musim baharu.

“Beliau akan mula menjalani latihan bersama rakan-rakan baharunya awal bulan Januari nanti,” ujar Irfan ketika ditemui Arena Suara Sarawak semalam.

Menurut Irfan, dua lagi calon import baharu dari Sweden yang beraksi di posisi penyerang.

Katanya, kehadiran kesemua tiga import baharu itu kelak diharap dapat membentuk satu kombinasi mantap di beberapa posisi pasukannya.

KC FC hanya mengekalkan Anylton Ferreira Ananias bagi musim depan.

Di samping menggugurkan tiga pemain import sebelum ini iaitu Yuta Suzuki, Hudson Dia De Jesus dan Michael Chukwubunna Ijezie.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak