Dua pemain kacukan sarung jersi Sarawak

KUCHING: Skuad Sarawak United FC (SUFC) mendapat tonik baharu apabila disertai dua pemain kacukan bagi Liga Super 2022.

Pemain tersebut ialah Stuart James Wilson, 32, kacukan Malaysia/Scotland dan Raja Imran Shah Raja Amin, 23, kacukan Malaysia/Jerman.

Penolong jurulatih SUFC, Safri Amit berkata Stuart akan beraksi di posisi pertahanan tengah dan Raja Imran di posisi tengah.

“Ia merupakan berita baik buat kita. Saya percaya mereka mampu menambah kekuatan di dua posisi,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Safri, Stuart merupakan tonggak SUFC musim lalu yang masih dikekalkan.

Manakala Raja Imran beraksi bersama Negeri Sembilan FC musim lalu dan baru sahaja ditambat oleh pihak pengurusan SUFC.

Safri menjelaskan, tiada masalah buat kedua-duanya menyesuaikan diri dengan pemain lain terutama muka baru dalam pasukan terbabit.

“Kedua-dua mereka beraksi dalam kancah Liga Premier musim lalu.

“Ia memberi kelebihan untuk mereka menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baharu,” katanya.

SUFC yang memulakan sesi latihan Isnin lalu turut disertai penyerang dari Nigeria, Francis Kone yang membantu Negeri Sembilan naik ke Liga Super 2022.

Dengan skuad yang hampir lengkap, SUFC bakal memberikan cabaran hebat kepada beberapa barisan elit seperti JDT, Sabah FC, Terengganu FC, KL City dan Pahang FC.

Namun tiada sasaran realistik daripada pihak pengurusan, sebaliknya SUFC mahu kekal dalam Liga Super 2023.

Yang pasti, Stadium Negeri akan kembali bergema musim ini, sebagai gelanggang utama SUFC.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak