NAMA Lily Yong menggelegak panas selepas bertindak menutup bilik operasi SUPP Kuching di Petanak, Padungan, beberapa hari menjelang Pilihan Raya Negeri lalu.

Tindakan beliau itu dibaca sebagai protes terhadap tindakan parti tertua negeri ini itu memilih Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng sebagai calon di Dun N9 Padungan; bukannya calon yang diangkat oleh cawangan tersebut. Mungkin ada isu lain yang tidak didedahkan kepada umum, menjadi asbab tindakan amat kasar itu.

Ini kerana mengenali Lily, beliau amat sayangkan partinya, sayangkan Padungan dan sayangkan rakyatnya. Nama Lily Yong atau Datuk Lily Yong Lee Lee sememangnya amat sinonim dengan Padungan. Malah ada beberapa pihak menamakannya sebagai warlord di kawasan tersebut. Tiada apa yang terlepas daripada tangkapan pengetahuannya.

Saya sendiri mengenali Lily Yong dengan begitu rapat, ketika masih menjawat Setiausaha Kehormat Saberkas Daerah Kuching, lebih 15 tahun yang lalu. Kami bekerjasama dalam satu organisasi pencegahan jenayah yang dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Rakyat Membanteras Jenayah (CACAC).

Lily menjadi pengerusi bersamasama Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai; yang ketika itu menjawat Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri. Perjalanan politik bagi ibu kepada tiga anak, dan isteri kepada pegawai kanan farmasi negeri itu tidak mudah.

Beliau mendaki dari satu tahap ke satu tahap, dan antara wanita terawal yang berjuang untuk parti itu. Beliau malah menjadi Adun SUPP wanita pertama, dan sebelumnya menjadi wanita pertama menjawat Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak.

Semuanya berlaku tanpa disangka, diramal dan diimpikannya. Sekali pandang, wanita cantik ini sudah jelas seorang yang mesra, dan ceria. Beliau juga sebenarnya seorang yang amat degil, tegas dan lasak. Justeru tidak hairanlah, atas kapasiti sebagai salah seorang Naib Presiden parti, beliau berani bertindak sejauh menutup bilik operasi pilihan raya.

Lily dilahirkan di Jalan Khoo Hun Yeang, Kuching. Bapanya merupakan pemilik kedai sukan dan cenderamata yang terkenal, Yong Kian Seng. Mungkin ramai yang tidak mengenali nama itu, tetapi jika disebut kedai sukan ‘Fui Lip’ dan Ladang Buaya Jong di Siburan — itulah penangan bapa Lily. Beliaulah pengasasnya. Fui Lip merupakan satu-satunya kedai sukan dan cenderamata di Kuching ketika 1960-an hingga 1990-an dan ia menjadi tumpuan ramai.

Mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa Lily pernah dibesarkan di Kampung Bintangor, Jalan Datuk Ajibah Abol. Bapanya memiliki tanah di kawasan tersebut, dan menjadi antara beberapa keluarga Cina di pinggir Sungai Bintangor tersebut. Wanita yang menimba ilmu di Sekolah Chung Hua No 2 ini kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kuching High, sebelum menyertai Sekolah Menengah Lita — bagi mengukuhkan bahasa Inggerisnya.

Menggelarkan dirinya anak kampung, Lily membesar dengan rakan-rakan pelbagai bangsa. Ketika kecil, beliau malah bermain di dasar Sungai Bintangor, di belakang rumahnya yang cetek dan kering ketika surut. Beliau mencari besi dan menjualnya kepada seorang wanita pencari besi di perkampungan Melayu.

Di sekolah, beliau akan menentang sebarang tindakan buli, termasuk menegur cikgu-cikgu yang mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada rakan-rakan pelajarnya. Lily bertindak berdasarkan pesanan bapanya, ‘jangan takut jika benar dan betul’.

Lily malah berjaya menghasut beberapa rakan lelakinya untuk menggantung basikal salah seorang cikgu yang sombong di atas pokok, hingga cikgu tersebut memikirkan basikalnya telah hilang dicuri.

Di sebalik kenakalannya itu, Lily seorang kakak yang bertanggungjawab. Dua abang dan lima adik diurusnya dengan baik di rumah mereka, kerana beliau anak perempuan tua. Beliau memastikan rumah dikemas dengan baik, dan Lily sendiri memasak memandangkan ibu dan bapanya sibuk di kedai. Ini menjadikan Lily seorang tukang masak yang hebat — ilmu yang menjadi bekalannya ketika menyertai Sarawak’s Federation Women’s Institute (SFWI), kemudiannya.

Beliau memandu kereta ketika bersekolah dan kerana memandu itu jugalah, beliau bertemu jodoh dengan suaminya, apabila kereta mereka hampir bertembung. Lily menyertai politik setelah bakatnya dilihat dalam SFWI. Dalam SFWI, beliau mengasas dan mengetuai cabang Orchid dan Mandarin.

Beliau kemudian menjadi Pengerusi Sayap Wanita, Persatuan Klan Tung Yang. Ketika dalam organisasi inilah, Lily menjadi jurucakap kepada beberapa pertubuhan yang mendesak kerajaan untuk meminda undang-undang adat Cina, yang tidak memberi sebarang hak kepada isteri atau balu, jika suami mereka meninggal dunia.

Hasil dedikasi dan usaha kuat Lily dan rakan-rakannya, satu petisyen yang ditandatangi oleh 13 pertubuhan telah diserahkan kepada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Amar Abdul Taib Mahmud. Abdul Taib memberi jawapan dua minggu kemudian dengan menyatakan pihaknya akan memanjangkan perkara tersebut ke peringkat persekutuan, sebelum akhirnya pindaan berjaya dilakukan di Parlimen.

Pada 1984, Lily dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kuching (KMC), yang bertukar kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada 1988. Di sinilah kerjaya politiknya mula bersinar apabila membantu Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Song Swee Guan memenangi kerusi Dun Padungan. Swee Guan menjadi Adun di situ selama empat penggal bermula 1983 hingga 2001. Beliau juga Ahli Parlimen Bandar Kuching selama dua penggal, bermula 1995 hingga 2004.

Dalam tempoh tersebut, Lily merupakan antara tenaga utama Swee Guan dalam memastikan kemenangannya. Tetapi Lily tetap Lily. Beliau tidak menggenggam jawatan untuk bersuka ria atau kerana glamor.

Atas peranannya sebagai kaunselor, beliau malah pernah menerima pelbagai ugutan. Ini kerana ketegasan dan kempen yang dilaksananya untuk menghalang pertunjukan ‘panas’ di premis hiburan dan kelab malam di sekitar Kuching. Ramai pengusaha kelab malam marah kepada Lily. Namun tindakan tersebut amat perlu kerana ketika itu, antara yang hadir ke kelab dan premis hiburan adalah kanak-kanak, sedangkan persembahan berbentuk separa bogel.

Lily bertindak setelah mendapat aduan ibu bapa. Setelah perbincangan demi perbincangan, sehingga mengadakan lawatan ke Semenanjung untuk melihat undang-undang kecil di sana, Lily dan rakan-rakannya berjaya mengusulkan undang-undang kecil pelesenan yang menghalang kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah daripada mengunjungi premis-premis terbabit. Ini menyelesaikan konflik terbabit.

Kecemerlangan Lily di peringkat cawangan SUPP Padungan menyebabkan beliau diminta untuk berkhidmat di peringkat yang lebih tinggi. Pada 1987 beliau menerima tawaran sebagai Ketua Wanita SUPP. Jawatan ini mengubah sama sekali hidupnya. Beliau menjadi ahli politik sepenuh masa. Mujur suaminya memahami dan anakanaknya menjadi sangat berdikari dan memahami tugas ibu mereka. L

ily kini perlu berkongsi peranannya dengan wanita SUPP di seluruh Sarawak. Ia bukan tugas yang mudah kerana beliau perlu bergerak ke seluruh negeri, menggunakan dana sendiri. Beliau bukan seorang wakil rakyat dan perlu bijak mencari dana.

Akibatnya, beliau berkunjung ke luar bandar dengan berkongsi satu bilik hingga lapan orang dan satu ketika, seramai 18 orang. Ini menyebabkan ada ketika mereka bergilir-gilir tidur, dan bangun seawal jam 3 pagi untuk mandi. Ini termasuk ketika menumpang di rumah Penan di Long Lama.

Kata Lily, pernah suatu ketika, beliau berkongsi bilik dengan ramai wanita tua, dan ketika berada di bilik air, beliau terlihat sehingga enam cawan yang berendam gigi palsu. Perjalanan ke luar bandar ini menyaksikan Lily perlu ke pedalaman seperti Long Lama dan Lawas, dan ada kalanya terpaksa meminta lawatan itu disertai dua Setiausaha Politik daripada SUPP, untuk membolehkan mereka mendapatkan bilik percuma; sekali gus mengurangkan perbelanjaan.

Kecemerlangan, kesungguhan dan dedikasinya menjadi Lily begitu dikenali, hingga akhirnya dilantik untuk menggantikan Swee Guan di Dun Padungan pada 2001, 10 tahun selepas beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik.

Setelah setahun berkempen dari rumah ke rumah, Lily berjaya mencipta 8,402 undi untuk mengetepikan peguam muda daripada DAP, Chong Chieng Jen yang sekadar mengutip 7,369 undi. Malangnya pada 2006, ketika berusaha mempertahankan kerusi tersebut, Lily tewas dengan majoriti 1,417 undi kepada Dominique Ng yang mewakili PKR.

Beliau kalah kerana banyak isu pembangunan di kawasan Padungan gagal diselesaikan, berikutan kekurangan dana. Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam politik, terutama di Padungan, Lily pasti memiliki alasan yang kuat untuk menutup bilik operasinya.

Sombong dan bongkak bukan alasan, kerana emosi tidak timbul dengan sendirinya, terutama daripada ahli politik yang matang.

Yang pasti, Lily yang masih berketrampilan menarik, akan tampil yakin di hadapan Jawatankuasa Disiplin parti yang dijangka berlangsung tidak lama lagi, dan membentangkan dengan yakin, hujah tindakannya itu.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak