LIGA SUPER 2022: Kone mesin gol baharu SU FC

KUCHING: Bekas penyerang sesasi Negeri Sembilan FC musim lalu, Kouassi Francis Kone antara pemain import baharu yang ditambat pengurusan Sarawak United FC (SU FC).

Beliau sekaligus bakal menjadi penyerang kedua sebagai pencetak gol skuad kendalian E.Elavarasan bagi menghadapi kempen Liga Super 2022 selain bintang sensasi kelahiran Nigeria, Uche Agba.

Penolong Jurulatih SU FC, Safri Amit berkata penyerang yang mempunyai karektor tersendiri itu akan tiba di Kuching dalam masa terdekat.

MULA BERLATIH….Pemain SU FC kembali menyambung sesi latihan mereka. – FOTO RAMIDI SUBARI

“Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikannya ketika ini, dia akan tiba di Kuching dan menyertai kem latihan dalam masa terdekat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Safri, kehadiran Kone dalam pasukan diharap akan dapat memperlihatkan kemantapan di posisi serangan.

Beliau juga berharap gandingannya bersama Uche Agba dapat menghadirkan kelebihan berganda di jentera serangan SU FC musim ini.

Skuad SU FC memulakan sesi latihan petang Isnin lalu dengan turut disertai sebahagian besar pemain lama yang masih dikekalkan.

Di samping itu, SU FC mempunyai enam pemain import tempatan iaitu Tauffiq Ar Rashid Johar, Ahmad Tasnim Fitri Mohd. Nasir, Muhammad Amirul Ashraf Ariffin, Kalaiharasan A/L Letchumanan, Raja Imran Shah Raja Amin dan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri termasuk beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak