Dua lelaki ditahan disyaki melakukan khianat dan curi motosikal

BAU: Dua lelaki ditahan menerusi tangkapan berasingan di sini oleh Bahagian Siasatan Jenayaha Daerah Bau kerana disyaki melakukan perbuatan khianat dan curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superitenden Poge Nyaon berkata, kedua-dua suspek berumur 26 dan 28 tahun itu juga didapati positif dadah berdasarkan ujian saringan air kencing.

Katanya, keduanya mengaku terlibat dalam pengambilan dadah sehari sebelum ditangkap.

Mengulas lanjut, Poge berkata tangkapan pertama membabitkan suspek berumur 28 tahun pada 7 Januari lalu yang telah melakukan perbuatan khianat dengan mengamuk tanpa menggunakan senjata dan menyelerakkan barang sehingga bertaburan di sebuah rumah di Kampung Serasot.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek telah merosakkan penyidai pakaian dan pinggan mangkuk namun selepas itu suspek mengemas semula tempat yang diselerakkannya.

“Suspek juga telah mengambil dua bilah parang di dapur dan telah menyimpan di dalam kereta lalu terus keluar dari rumah.

“Akibat kejadian itu, ibu suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan berasa takut dan fobia terhadap sikap anak lelakinya dan telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman telah dibuat terhadap suspek untuk dihadapkan ke Majistret.

Sementara, katanya tangkapan kedua membabitkan suspek berumur 26 tahun yang telah melarikan motosikal milik adik iparnya tanpa kebenaran di Kampung Daun Singgai, 13 Disember lalu, kira-kira jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, adik iparnya berusaha untuk menghubungi nombor telefon milik suspek tetapi gagal dihubungi.

“Adik ipar suspek sudah puas menghubungi suspek tetapi gagal. Dia bertindak membuat laporan untuk siasatan dan tindakan polis,” katanya.

Poge berkata, suspek telah ditangkap pada 6 Januari lalu dan telah direman pada 7 Januari sehingga hari ini.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak