24 kes bunuh direkod di Sarawak

KUCHING: Sejumlah 24 kes bunuh dilaporkan berlaku di Sarawak pada tahun 2021 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 16 kes berbanding tahun 2020.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, kategori kes jenayah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan sebanyak lapan kes.

“Kesemua kes telah berjaya diselesaikan termasuk melakukan tangkapan serta siasatan terhadap kes mengambil nyawa sendiri.

“Cuma satu lagi kes kini masih dalam siasatan,” katanya ketika berucap membentangkan statistik kes JSJ Sarawak 2021 di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Manakala bagi kes jenayah harta benda katanya, sebanyak 3,699 kes dilaporkan pada tahun 2021.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 1,390 kes berbanding 5,089 kes pada tahun sebelumnya.

Secara keseluruhannya, Lukas mendedahkan kadar jenayah di Sarawak pada tahun 2021 menunjukkan penurunan ketara berbanding dua tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2019, ia mencatatkan sebanyak 6,022 kes; 2020 (5,874 kes) dan 2021 (4,298 kes),” katanya.

Dedahnya, antara punca indeks penurunan berlaku adalah disebabkan penyebaran Covid-19 serta kawalan rondaan yang kerap dilakukan oleh anggota bagi memastikan masyarakat kekal di kediaman masing-masing.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak