720 karton rokok, 450 kotak bir seludup dirampas di Sibu

SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 Kem Lanang merampas sebanyak 720 karton rokok dan 400 kotak minuman keras jenis bir tin serta 50 kotak bir botol dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Jerrwit Barat di sini.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 10 Kem Lanang Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata nilai rampasan rokok berkenaan dianggarkan sebanyak RM122,400 manakala minuman keras bernilai lebih RM73,000.

“Hasil pemeriksaan pasukan serbuan yang diketuai oleh Inspektor Mohd Shaiful Nizar Mohd Yusoff mendapati premis berkenaan telah dijadikan sebagai stor menyimpan barangan tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah serbuan yang dijalankan pada jam 5.30 petang 5 Januari lalu itu turut menahan seorang lelaki berumur 33 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk membantu siasatan.

Mohammad Hafiz berkata lelaki terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah atas pemilikan ke atas barangan yang disyaki seludup itu.

“Selepas gagal mengemukakan dokumen yang diminta, pasukan serbuan bertindak merampas barangan tersebut.

“Suspek turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah ke atas rokok dan minuman keras itu, yang disyaki tanpa cukai JKDM,” katanya.

Beliau menambah suspek terbabit kini direman empat hari sehingga 10 Januari (hari ini) manakala rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Suara Sarawak