BERCAKAP… Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap dalam sidang media

KUCHING: Semua persatuan sukan Sarawak akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan persediaan atlet-atlet yang akan mewakili Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan itu bagi mengenal pasti atlet-atlet yang layak mengisi kekosongan susulan penarikan diri seramai 88 atlet Sarawak dalam kejohanan terbabit.

“Dalam jangka masa terdekat ini, kita harap dapat mengangkat atlet sedia ada atau yang sudah dimasukkan dalam jadual pasukan untuk acara sukan tertentu.

“Mesti ada perancangan atau cara kita mencungkil bakat-bakat secara terus-menerus bagi melihat potensi atlet,” katanya.

Tambah Karim, sekiranya terdapat seorang dua yang terkeluar dari suatu sukan, sudah tentu akan ada atlet yang lain.

“Kita akan jumpa semua persatuan sukan supaya dapat mengangkat atlet sedia ada untuk masuk ke sukan tertentu (SUKMA),” tambahnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penghargaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) 2021 di Hotel Pullman, semalam.

Jelas Karim, biarpun penarikan diri atlet sedikit sebanyak menjejaskan persiapan Sukma 2022 Kontinjen Sarawak, namun ia dapat membuka peluang kepada pelapis atlet berkelayakan.

Mengenai atlet yang menarik diri katanya, beliau berharap mereka bukanlah dari golongan atlet yang dijangka meraih pingat dalam kejohanan itu kelak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak