97 saman dikeluar dalam operasi malam tadi

KUCHING: Sebanyak 97 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan polis menerusi Op Bersepadu yang diadakan pada malam ambang tahun baharu 2022 di Jalan Simpang Tiga, di sini malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritenden Alexson Naga Chabu berkata, ia membabitkan sebanyak 91 saman PDRM(K) 257 dan enam saman  PDRM(K) 170A menerusi operasi yang bermula jam 10 malam hingga jam 3.30 pagi.

Katanya, dalam operasi yang sama, seramai empat individu ditahan kerana memandu kenderaan bawah pengaruh alkohol.

“Seramai enam individu telah menjalani ujian pernafasan Evidental Breath Analyser (EBA) dan empat individu didapati positif EBA.

“Kesemua yang ditahan adalah lelaki berumur lingkungan 22 tahun hingga 38 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 485 kenderaan diperiksa membabitkan 125 buah motosikal, 310 kereta, 35 kenderaan pacuan empat roda, 10 kenderaan pelbagai guna dan lima buah van.

Sementara katanya, seramai 970 individu turut diperiksa dalam operasi tersebut.

Beliau berkata, operasi dijalankan membabitkan dua pegawai dan 10 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching, seorang pegawai dan enam anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Sarawak, seorang pegawai dan tiga anggota dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Sarawak serta dua anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak.

Suara Sarawak