ASAJAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menghadapi masalah sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini, tegas Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau percaya dengan kebolehan jentera GPS lebih-lebih lagi dengan kemenangan besar yang diraih semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang lalu.

“Untuk menghadapi PRU-15 kelak, kita hanya perlu mengaktifkan semula jentera berkenaan dan insya-Allah saya percaya jentera inilah yang akan membawa kemenangan besar kepada GPS,” katanya.

Adun Asajaya itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Kemenangan Pilihan Raya PRN-12 Sarawak N.15 Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya, dekat sini hari ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu dalam ucapannya turut memberikan bayangan bahawa PRU-15 berkemungkinan besar diadakan sama ada pada Mac atau Jun tahun ini.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran dan Apresiasi Kemenangan Pilihan Raya PRN-12 Sarawak N.15 Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya, dekat sini hari ini. (Foto: RAMIDI SUBARI)

Suara Sarawak