Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Tun Salahuddin

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang meninggal dunia malam tadi.

Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih dengan pemergian itu menerusi catatan di Facebook Istana Negara, sebentar tadi.

“Diharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyatakan penghargaan dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada Sarawak serta negara.

Suara Sarawak