Ambil serius isu perparitan

SEKITAR tiga minggu yang lalu, ramalan cuaca di Sarawak, tidak begitu tepat, apabila hanya segelintir tempat digenangi air yang berdekatan kawasan sungai, ekoran pertembungan hujan lebat dan air pasang besar.

Namun, ia tidak menghairankan kerana, ia hanyalah “ramalan” yang tidak semestinya betul. Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak dan pihak yang bertanggungjawab sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sejak dua bulan yang lalu.

Namun sejak dua minggu kebelakangan ini, kekerapan hujan begitu dirasai, namun belum lagi mencapai tahap serius, yang menyebabkan banjir besar.

Bagaimanapun, kebanyakan kawasan rendah sudah pun dibanjiri, namun keadaan masih terkawal. Pasukan yang dipertanggungjawabkan sudan pun lama bersiap siaga, bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada bila-bila masa dari sekarang.

Banjir buruk yang melanda kebanyakan tempat di Semenanjung baru-baru ini harus dijadikan iktibar.

Baru-baru ini Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kho Teck Wan menggesa semua agensi dan ahli politik agar mengambil serius isu perparitan sebelum terlambat.

Tegasnya ia bagi menangani dan mengelak kejadian banjir yang lebih teruk. “Saya menggesa YB yang mempunyai kuasa politik supaya fokus memperjuangkan peningkatan infrastruktur perparitan dan bukannya menumpukan perhatian mereka kepada isu remeh dan drama politik,” ujarnya.

Ia kerana kebanyakan kawasan banjir, terutama di kawasan bandar berpunca daripada sistem perparitan yang lemah. Namun harus diingat, ia juga berpunca daripada sikap masyarakat kita yang mengabaikan kebersihan dengan membuang sampah di merata-rata tempat, termasuk ke sungai atau parit.

Keadaan ini menyebabkan aliran sungai dan parit tesekat, dan memudahkan sesuatu kawasan itu dilimpahi air ketika hujan lebat atau air pasang besar. Misalnya di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), banyak kejadian banjir kilat berpunca daripada pembuangan sampah yang berlebihan di longkang dan sungai.

Ia hanya boleh diselesaikan dengan menambah baik infrastruktur saliran sedia ada. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kajian komprehensif yang merangkumi kesan perubahan iklim dan analisis corak cuaca selama 50 dan 100 tahun pada 2013.

Satu lagi kajian dilakukan selepas banjir pada 2016 dengan input daripada perunding Belanda. Kesimpulan kedua-dua kajian itu adalah projek tebatan banjir yang meluas.  Oleh itu, Bandar Raya Kuching diberi keutamaan dengan fasa pertama projek tersebut bagi menangani masalah air hujan dan saliran di kawasan kritikal yang dikenal pasti.

Projek yang dicadangkan oleh JPS Sarawak itu dinamakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak yang menelan kos kirakira RM150 juta.

Namun projek tersebut disemak semula oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH). Yang pasti, ketika masih berada dalam musim tengkujuh ini, semua pihak harus memainkan peranan. Ini bukan masa untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi masa untuk bekerjasama dan berganding bahu.

Harus diingat, kejadian banjir tidak akan memberitahu anda bila ia akan berlaku, namun kita mempunyai petunjuk dan panduan melalui ramalan cuaca. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada, walaupun ada ketikanya, ramalan cuaca kurang tepat.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak