Analisa membawa bayinya ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh hari ini.

KUCHING: Kedatangan Orang Utan berusia 26 tahun, Analisa ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC) hari ini membawa kejutan apabila ia bersama bayinya yang baharu dilahirkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton berkata Analisa datang ke SWC bersama bayinya kira-kira jam 3.06 petang.

Katanya kali terakhir Analisa datang ke SWC ialah pada 21 Januari lalu.

“Itu adalah anak keempat Analisa. Memandangkan tali pusat masih melekat pada bayi itu, ia mungkin dilahirkan sama ada pada 22 Januari atau awal hari ini,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Kontroler Hidupan Liar Sarawak berkata pihaknya kini sedang menunggu dua lagi kelahiran daripada Selina dan Saddamiah.

Selina berusia 18 tahun manakala Saddamiah berusia 20 tahun.

“Ini adalah satu lagi usaha pemuliharaan Orang Utan yang berjaya oleh Kerajaan Sarawak dan SFC,” katanya.

Justeru, Zolkipli menyeru orang ramai agar bersama-sama menunjukkan kasih sayang kepada Orang Utan dengan menyokong usaha pemuliharaan SFC menerusi Program Anak Angkat Orang Utan (https://semenggoh.my/adopt-orangutan/).

 

Suara Sarawak