ATM perluas sesi kaunseling, elak kes tembak tentera berulang

KOTA SAMARAHAN: Program kaunseling membabitkan anggota tentera akan dipergiatkan dalam usaha mengenal pasti masalah dalaman yang dihadapi setiap petugas.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, ia bagi memastikan tidak akan berlaku lagi kes tembakan kematian anggota seperti yang berlaku tahun lalu.

Katanya, tujuan program kaunseling ini juga adalah untuk mengelakkan tiada kes membabitkan anggota tentera khususnya dalam kancah perjudian dalam talian (JOL), dadah dan masalah rumah tangga selepas ini.

“Perkara itu ditekankan selepas kajian pihaknya mendapati kesemua punca masalah terbabit menjerumus kebanyakan anggota ke arah masalah kewangan serius.

“Tahun lepas ada dua kes tembak mati berlaku di Sarawak, iaitu empat kematian anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah berpunca daripada JOL manakala satu kes tembak mati tentera di Bau berpunca daripada masalah rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DETAR) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Tambahnya, kaunseling atau ujian psikologi kerap kali dilakukan dan terdapat organisasi pengurusan kaunseling iaitu dua jabatan kaunseling merangkumi specialist kaunseling dan kaunseling Kor Agama Tentera Darat (KAGAT).

Suara Sarawak