Bah lepas jangan dikenang

KUCHING: Pengalaman banjir dahsyat pada 2004 menyebabkan penduduk di kawasan Satok sudah lali dan membuat persediaan bagi menghadapi bencana banjir kali ini.

Banjir yang berlaku pada 2004 merupakan banjir paling teruk pernah dilalui hingga menenggelamkan rumah dan jalan raya.

Menurut Penghulu Kampung Kudei Mohamed Maraji, 68, mengambil pengajaran peristiwa itu dengan membuat persiapan awal.

“Situasi banjir setiap tahun adakalanya teruk, adakalanya tidak membahayakan namun setiap tahun kami bersedia.

“Biasanya banjir secara keseluruhan akan menjejaskan sekitar 70 hingga 80 rumah.

Risiko ini tidak dapat dielakkan kalau hujan tidak berhenti selama dua hari dan kena bersedia,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana diberitahu mempunyai perahu atau bot penyelamat jika air mula naik ke kampung.
“Saya juga bersyukur setakat ini tiada kes kematian dan buaya juga tidak pernah naik ke kawasan kampung,” tambahnya.

Manakala Tuai Rumah Kampung Kudei Dayak Sangi Abi, 50 berkata, buat masa ini banyak persediaan dilakukan dan mesyuarat juga sentiasa dilaksanakan serta dikemas kini dengan Pusat PBB Cawangan Satok.

“Kita sentiasa bermesyuarat bagi mengemas kini maklumat banjir dan membuat persediaan banjir terutamanya apabila tibanya Tahun Baru Cina.

“Bagi kaum Iban dan Dayak di kampung ini, kita mempunyai 430 orang dan setengah daripada jumlah itu yang kebanyakan terjejas akibat banjir.

“Peristiwa banjir 2004 juga terus dikenang sebagai banjir melumpuhkan kampung ini dan mahu ia tidak berulang lagi.

Jadi penduduk perlu peka dan bersedia dengan segala kemungkinan,” jelasnya.

Bagi salah seorang penduduk Kampung Kudei Jaanah Jili,59 berkata, kesan banjir di beberapa negeri terutama di Semenanjung Malaysia terjejas teruk, penduduk di kampung ini mula membuat persediaan menghadapi bencana itu.

“Kami cuba melakukan persiapan awal bagi mengelak kesan lebih teruk sambil mengharapkan tidak berlaku banjir teruk kali ini.

“Saya berharap penduduk kampung tetap berwaspada dan peka sekiranya hujan lebat berterusan dan air mula naik,” katanya.

Suara Sarawak